Pages

Thursday, March 10, 2011

Wilshere fokus United..

JACK WILSHERE
JACK Wilshere (gambar) melaungkan amaran terhadap Manchester United disebabkan Arsenal sudah tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara Eropah, mereka kini boleh memberikan tumpuan kepada satu saja - untuk meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Impian Gunners meraih kegemilangan Liga Juara-Juara berkecai sekali lagi di tangan Barcelona di Nou Camp, yang melakar kemenangan 3-1 sekali gus mengatasi defisit perlawanan pertama untuk mara 4-3 menerusi agregat.

Sekalipun Arsenal berang berikutan penyerangnya, Robin van Persie dibuang padang kerana dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-56, statistik selepas perlawanan membuktikan dominasi kawalan bola Barcelona ketika kelab Inggeris itu gagal untuk melakukan percubaan tepat ke arah gol lawan.

Arsenal, bagaimanapun tidak perlu menunggu lama bagi peluang untuk menebus kekecewaan mereka di atas padang apabila berkunjung ke Old Trafford malam esok bagi pertembungan suku akhir Piala FA Inggeris.

Ketika Gunners kini hanya tiga mata di belakang United, yang tumpas dua perlawanan liga terakhir mereka dan akan berkunjung ke Stadium Emirates pada 1 Mei, pastinya anak-anak buah Arsene Wenger kini mensasarkan untuk memburu kejuaraan berganda domestik.

Wilshere menganggap oleh kerana tidak terbabit lagi dengan jadual Liga Juara-Juara selepas ini, ia sebenarnya mampu mendatangkan faedah buat kelab itu.

"Kami masih bersaing dalam dua pertandingan, hanya tiga mata di belakang Manchester United dalam liga dan dengan bermain kurang satu perlawanan," kata pemain tengah England berusia 19 tahun itu.

"Mungkin kini kami sudah tersingkir daripada saingan Eropah, kami boleh lebih kuat dalam liga, memberikan tumpuan lebih terhadapnya, cuba dengan bersungguh-sungguh untuk memenangi kejuaraan.

JACK WILSHERE (kiri) bersama Fabregas dan RVP
"Kami sedar Manchester United sebuah pasukan yang hebat, tapi mereka ada perlawanan Eropah minggu depan, jadi mereka mungkin menurunkan pasukan yang tidak begitu kuat, maka kami boleh pergi ke sana dan menggunakan kelebihan itu." Wilshere berkata: "Kami ada kekuatan mental yang tinggi, memang ada kekecewaan di dalam bilik persalinan, ya, tapi kami perlu bangkit dan pergi ke Manchester United untuk mencari kemenangan.

"Kemudian kami perlu lebih kuat sekarang dalam liga, cuba untuk menekan dan memastikan kami memiliki sekurang-kurangnya satu trofi hujung tahun ini.

"Kami mahu menang setiap perlawanan. Apabila United bertandang ke sini, kami mahu berada di depan mereka, harapnya itulah keadaannya." Kematangan yang dipamerkan Wilshere dalam dua perlawanan menentang kelab gergasi Sepanyol itu pastinya satu perkara positif.

Pengurus Barcelona, Pep Guardiola menyatakan sebelum perlawanan itu bahawa beliau mempunyai beberapa pemain setaraf dengan pemain berusia 19 tahun itu dalam skuad simpanannya.

Wilshere, bagaimanapun, sekali lagi mempamerkan potensi besarnya dengan permainan mengagumkan menentang antara pemain yang muncul juara dunia, seperti Xavi Hernandez dan Andres Iniesta.

"Tidak ada tempat lain yang lebih baik datang dan bermain bola sepak, dan jika anda mempamerkan permainan yang bagus, ia adalah satu bonus," kata pemain antarabangsa England itu.- Metro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...