Pages

Monday, October 31, 2011

Arsenal menemui rentak kemenangan


LONDON: Prestasi memberangsangkan Robin van Persie dan kejayaan Arsenal menemui rentak kemenangan mereka memberi keyakinan mereka mampu menewaskan mana-mana pasukan di Eropah menjelang kunjungan Olympique Marseille untuk perlawanan Kumpulan F Liga Juara-Juara, awal pagi esok.

Biarpun berdepan masalah di bahagian pertahanan, Arsenal mempamerkan aksi bola sepak luar biasa apabila menewaskan Chelsea, 5-3, Sabtu lalu hasil hatrik Van Persie yang mengumpul 28 gol daripada 27 perlawanan Liga Perdana Inggeris terakhirnya.

Selepas permulaan hambar, keyakinan kelab itu mula kembali selepas menang lima kali berturut-turut dalam semua kejohanan dan mereka kini yakin ia mampu diteruskan di Stadium Emirates apabila menanti kunjungan kelab Perancis itu.

“Cara kami bermain ketika ini membuatkan kami percaya mampu menewaskan siapa saja,” kata pemain sayap, Theo Walcott.

“Kami menikmati permainan, prestasi kami cukup hebat dan perlu meneruskannya. Semua orang memperkatakannya ketika ini.

“Prestasi Robin begitu menakjubkan. Ia menjadikan tugas kami lebih mudah apabila dia bermain seperti itu,” katanya.


 “Apa yang berubah ialah kami memiliki separuh daripada pasukan yang beraksi pada 31 Ogos lalu,” kata pengurus, Arsene Wenger.

“Kami perlu membina semula perpaduan sepenuhnya dalam gaya permainan bola sepak yang kami inginkan. Setiap kemenangan membuatkan anda lebih mantap.”

Selepas tewas kepada Tottenham Hotspur 1-2 pada 2 Oktober lalu, Arsenal menewaskan Sunderland, Stoke City dan Chelsea di Liga Perdana Inggeris selain menewaskan Bolton Wanderers pada Piala Liga dan Marseille di Liga Juara-Juara.

Marseille bertandang ke England selepas menewaskan Dijon 3-2 dalam Ligue 1, Sabtu lalu tapi biarpun mereka mula bangkit di peringkat domestik, pastinya ia mengejutkan jika mereka menewaskan lawan mereka itu yang menewaskan Marseille 1-0 dua minggu lalu hasil jaringan Aaron Ramsey pada minit terakhir.

Arsenal juga mempunyai rekod hebat di tempat sendiri di peringkat kumpulan kejohanan itu, apabila menang 20 daripada 24 perlawanan peringkat kumpulan dan seri empat perlawanan lain sejak tewas kepada Inter Milan di laman sebelum ini, Highbury pada September 2003.

Sukar dipercayai Arsenal hanya menang satu daripada empat perlawanan pembukaan, dibelasah 2-8 oleh Manchester United dan tewas 4-3 kepada Blackburn Rovers dalam dua perlawanan berturut-turut di tempat lawan pada awal musim ini. - Reuters

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...