Pages

Thursday, November 3, 2011

Arshavin terpinggir..



ANDREY Arshavin mengakui dia tidak lebih daripada sekadar pemain biasa di Arsenal, selepas gagal meletakkan dirinya sebaris dengan pemain utama kelab itu.

Penyerang Russia itu tiba pada Februari 2009 sebagai antara pemain paling dinantikan selepas mempamerkan aksi hebat buat negaranya pada Euro 2008. Dia juga adalah watak penting di Zenit St Petersburg tetapi selepas bermula cemerlang di Arsenal, dia mula dipinggirkan.

Arshavin kehilangan tempat dalam kesebelasan utama musim lalu dan tahun ini berada di belakang pemain baru kelab itu, Gervinho dalam senarai penyerang kelab itu.

Semua penyerang berbakat Arsenal bagaikan perlu membantu Robin van Persie, yang kini menemui sentuhan emasnya.

Kapten kelab itu menjaringkan 33 gol dalam 38 perlawanan menerusi semua kejohanan yang disertai kelab itu sepanjang 2011 dan pencapaian paling menakjubkan dilihat menerusi 28 jaringan daripada 27 perlawanan Liga Perdana Inggeris.

“Secara jujurnya, saya fikir persembahan saya untuk Arsenal begitu sederhana,” kata Arshavin.

“Saya bermain dengan baik tetapi saya tidak menilainya menerusi gol atau membantu jaringan, saya melihat kepada gambaran keseluruhan. Biasanya jika saya berada di padang, saya mengawal perlawanan tetapi tidak dapat melakukannya di sini. Saya adalah pemain tambahan dalam pasukan ini dan bukannya pilihan utama, jadi ia sesuatu yang berbeza.”

Kebergantungan Arsenal terhadap Van Persie sekali lagi menjadi topik perbincangan selepas seri tanpa jaringan dalam perlawanan Liga Juara-Juara menentang Marseille, awal pagi Rabu lalu.

Penyerang itu hanya diturunkan sebagai pemain gantian pada minit ke-62 dan pasukan berusaha keras dengan ketiadaannya. Ironinya, dia terlepas peluang keemasan apabila gagal memanfaatkan hantaran Tomas Rosicky.

“Robin adalah pemain bertaraf dunia dan penyerang luar biasa,” kata pertahanan tengah, Thomas Vermaelen.

“Bagaimanapun dia tidak boleh beraksi dalam setiap perlawanan, kami mempunyai skuad yang besar dan mempunyai cukup penyerang untuk menggantikan tempatnya.

“Saya fikir pasukan ini masih mampu menjaringkan gol selain berharap kepada Robin. Kami mempunyai pemain yang boleh menentukan corak permainan seperti Gervinho yang cukup pantas.

“Kami mencipta banyak peluang tanpa Robin sewaktu menentang Marseille dan Andrey juga boleh melakukan jaringan jadi kami yakin mampu mencipta peluang dan menjaringkan gol tanpa Robin.

Vermaelen baru-baru ini pulih daripada pembedahan untuk memulihkan buku lalinya dan bergandingan dengan Per Mertesacker buat kali pertama ketika menentang Marseille, dan memberi bayangan cerah terhadap masa depan kelab itu.

Arshavin turut berada dalam suasana positif selepas Russia layak untuk Euro 2012.

“Sejak kami layak, saya rasa cukup tenang dan selesa. Saya harap ia akan diterjemahkan dalam permainan kerana keadaan mental saya jauh lebih baik.

“Keputusan perlawanan antarabangsa adalah cukup penting bagi saya dan kejayaan Russia layak ke kejohanan itu cukup penting. Kami tidak dapat beraksi di Piala Dunia tetapi kami mengambil langkah yang positif ketika ini.” - Metro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...