Pages

Tuesday, January 31, 2012

Kami akan berjuang habis-habisan untuk tiga mata - Vermaelen

VERMAELEN (kiri) yakin Arsenal mampu menamatkan saingan Liga Perdana England dalam kelompok empat teratas.
LONDON - Arsenal telah melalui banyak 'detik hitam' dalam kempen Liga Perdana England musim ini.

Bagaimanapun, pemain pertahanan, Thomas Vermaelen yakin kemenangan 3-2 ke atas Aston Villa pada aksi pusingan keempat Piala FA Ahad lalu mampu melonjakkan keyakinan pasukan untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas.

Skuad The Gunners yang dibimbing Arsene Wenger itu akan meneruskan saingan liga musim ini dengan berkunjung ke Bolton Wanderers awal pagi esok.


Ia adalah perlawanan pertama Arsenal selepas kemenangan dramatik ke atas Villa.

Selepas ketinggalan 0-2 sehingga tamat babak pertama, Wenger dilihat semakin tertekan sebelum Arsenal memperoleh tiga gol dalam tempoh lapan minit.

Dua gol menerusi sepakan penalti penyerang Belanda, Robin van Persie dan satu daripada Theo Walcott sudah cukup untuk mengesahkan tempat Arsenal dalam kelompok 16 terbaik, sekali gus mengatur pertemuan dengan Sunderland atau Middlesbrough.

Selepas gagal memenangi sebarang gelaran sejak merangkul trofi Piala FA 2005, Arsenal perlu mengekalkan tumpuan dalam semua kejohanan dan kini fokus mereka kembali terarah pada kempen liga.

Impian Arsenal untuk merangkul gelaran liga semakin tertutup selepas mencatat tiga kekalahan berturut-turut, sekali gus ketinggalan 18 mata di belakang pendahulu liga, Manchester City.

Kini, misi utama Arsenal adalah untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas dan layak ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.

"Ia seringkali memberikan kamu keyakinan jika berjaya mencatat kemenangan selepas ketinggalan di belakang. Perlawanan itu turut memberikan keyakinan kerana kami bermain lebih baik berbanding hujung minggu lalu (tewas 1-2 kepada Manchester United).

"Apabila kami memegang bola, kami lebih baik. Kami meletakkan pasukan lawan dalam tekanan dan keputusan tersebut memberikan kami keyakinan. Ia adalah sesuatu yang hebat kepada saya.

"Kami tewas tiga perlawanan (berturut-turut) dalam kempen liga. Jadi, adalah baik untuk kami mencatat kemenangan (menentang Villa). Ia memberikan kami keyakinan untuk menghadapi perlawanan seterusnya dan kami akan berjuang berhabis-habisan esok (awal pagi esok) untuk memperoleh tiga mata." - AFP (kosmo!)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...