Pages

Friday, June 17, 2011

Terpaksa Pendam Dalam Hati..

CESC Fabregas mungkin tidak boleh lari dari Arsenal dan tetapi perasaan hati kecilnya tidak dapat menyembunyikan hakikat bahawa ‘cintanya’ masih bersama Barcelona.

Apatah lagi rasa terhutang budi kepada Arsene Wenger dan Arsenal menghalangnya untuk meninggalkan mereka, seperti yang didakwanya kelmarin.

Hajat kapten Gunners itu untuk kembali ke tanah airnya untuk menyertai Barcelona tergendala dengan ‘kegagalan’ Arsenal menjuarai trofi, perkataan yang sering diucapkannya untuk menjelaskan rasa kecewa yang membuak-buak sejak Jun 2009.

Dalam tempoh dua tahun itu, Barca menjuarai La Liga dan Liga Juara Juara dua tahun berturut-turut.

Arsenal? Tiada langsung atau Fabregas mungkin berkata dalam bahasa Sepanyol: Nada.

Pasukan hebat bimbingan Pep Guardiola yang menyingkirkan Arsenal dari Liga Juara-Juara, terdiri daripada rakan karib Fabregas iaitu Messi, kapten Barca, Carles Puyol dan teman rapatnya dari akademi remaja Barcelona, Gerard Pique.

Tempoh enam tahun tanpa trofi buat Arsenal menyebabkan penyokong meluahkan kemarahan kepada Wenger dan lembaga pengarah pada dua perlawanan terakhir musim lalu.

Ia satu lagi kempen yang menjanjikan kegemilangan buat Arsenal tetapi apa yang terjadi kepada kelab London itu, mereka hanya menduduki tempat keempat.

Fabregas, 24, mengakui Barca adalah yang terbaik dan menjanjikan peluang cerah untuk pemainnya memegang sebarang gelaran.

“Saya kecewa kerana gagal memenangi sebarang gelaran. Saya sentiasa mahu menang dan kegagalan sentiasa melukakan terutamanya apabila anda memberikan segala-galanya tetapi tersungkur di ambang kejayaan.

“Mana-mana pemain yang berkata dia tidak kecewa jika tidak memenangi gelaran adalah seorang penipu.

Saya mempunyai cita-cita tinggi,” katanya.

Satu-satunya yang tertinggal dalam kenyataan itu ialah Fabregas mahu memberontak melainkan sekiranya Arsenal bersetuju menjualnya kepada Barcelona.

Bulan lalu, Sergio ‘Kun’ Aguero, 23, meluahkan keinginannya untuk meninggalkan Atletico Madrid, hingga mencetuskan perebutan di antara Real Madrid, Chelsea, Manchester City dan Juventus.

Keadaan sebaliknya pula berlaku kepada Fabregas.

Apatah lagi selepas dia berkata mahu kembali menyertai Barca tetapi kelab Catalan itu gagal memenuhi bayaran yang ditetapkan Arsenal menyebabkan pemain itu berasa malu.

“Saya tidak akan mengambil tindakan seperti Kun. Dia sudah menetapkan apa yang terbaik untuk dirinya.

“Saya dalam situasi yang menyulitkan. Saya tidak akan berkata sesuatu bagi membolehkan proses perpindahan berlaku.

“Tahun lalu, saya melakukan kesilapan disebabkan apa yang berlaku selepas itu. Ia sesuatu yang sukar bagi saya dan saya tidak mahu kejadian itu berulang. Saya tersilap kerana menghebahkan mengenai kedudukan saya tetapi anda perlu belajar daripada kesilapan.

“Setiap orang mempunyai nilai atau sebaliknya. Selepas lapan tahun dan dengan usaha yang dicurahkan serta perasaan mendalam kepada kelab ini, saya tidak akan menyerah kalah.

“Saya tidak akan merosakkan segala-galanya selepas kelab ini memberikan yang terbaik untuk saya. Saya sentiasa bekerja secara bijaksana,” katanya.

Pemain tengah itu menyedari perpindahan itu tidak akan berlaku lagi melainkan jika Barcelona meletakkan sejumlah wang mencukupi.

Arsenal meletakkan harga tinggi 54 juta (RM86.9 juta) untuk pemain itu beberapa minggu lalu dengan harapan tiada satu pasukan pun sanggup membelinya.

Realitinya, 40 juta (RM64.4 juta) sudah memadai. Malah jumlah itulah yang perlu dibelanjakan Barca musim ini, seperti yang diperkatakan mereka minggu lalu.

Untuk sebab itu jugalah Fabregas membuka pintu untuk menyertai musuh ketat Barca, Real Madrid seperti yang dilakukannya di Sepanyol dua tahun lalu ketika dia berkata secara terbuka mengenai keinginan untuk kembali ke negara asalnya.

Memandangkan sidang media itu diadakan di Madrid dan keinginan Real mendapatkannya, maka sudah tentu dia ditanya mengenai kemungkinan menyertai pasukan Mourinho.

“Saya tidak mahu berkata mengenai mana-mana pasukan tetapi anda tidak boleh berkata tidak kerana tiada siapa tahu apa yang terjadi pada masa depan.

“Setiap orang mempunyai cara untuk menafsir sesuatu perkara tetapi dalam keputusan ini ia tidak bergantung sepenuhnya kepada pemain. Berkata sesuatu yang lain tentunya satu penipuan, membenarkan spekulasi yang tidak benar,” katanya.

Fabregas berkata sudah berminggu dia tidak bercakap dengan Fabregas, tetapi dia yakin pengurus kelahiran Perancis itu mempunyai kata putus.

“Saya tidak bercakap dengan pengurus sejak beberapa minggu. Beliau seorang pengurus yang membuat keputusan.

“Beliau lebih mengetahui daripada sesiapa pun jika beliau mahu menjual saya atau mahu saya teruskan. Tanyalah beliau sendiri,” katanya. - Metro

1 comment:

  1. come on la wenger..,,bila lagi..,trofi..,,penyokong dah marah sgt2

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...