Pages

Tuesday, February 22, 2011

Siapa Tehoue?..

TEHOUE menggelecek melepasi dua pemain pertahanan Arsenal sebelum menjaringkan gol
JONATHAN Tehoue sudah muncul sebagai seorang wira bersama Leyton Orient. Penyerang Perancis itu menjaringkan gol lewat menentang Arsenal, Ahad lalu untuk memaksa perlawanan ulangan bola sepak Piala FA Inggeris pusingan kelima bernilai STG1 juta (RM4.93 juta) buat Orient.

Ia bermakna peluang untuk bermain di depan 60,000 penonton di Stadium Emirates seminggu dari sekarang.

Menakjubkan, di kelab terdahulu Tehoue di divisyen empat Perancis, beberapa perlawanannya tidak menarik minat seorang pun penonton berbayar - jadi jumlah kutipan tiket secara rasminya adalah kosong.

Tehoue, 26, menandatangani kontrak dengan kelab timur London itu setahun lalu selepas karier singkat bersama kelab berpangkalan di Paris, Alfortville.

Presiden kelab, Gilles Baudu berkata: "Bagi kami dia seorang pemain yang bagus. Sebaik dia mendapat peluang untuk pergi ke England, kami tidak ada sebarang alasan untuk menyekatnya daripada berhijrah. "Dia pernah bermain di kelab divisyen satu Turki, jadi memang jelas dia mempunyai kualiti.

"Saya tidak fikir kami memiliki sebarang penyokong, kadang-kadang mungkin 20 atau 25 orang yang membayar duit tiket. Kami tidak memiliki sebarang kewangan mahupun tajaan.

Tehoue
"Kerana kami tidak mempunyai sebarang padang, satu-satunya yang kami boleh gunakan adalah 32 kilometer jauhnya.

"Peminat yang hadir sejauh itu tidak akan membayar tiket! "Di England, anda boleh mendapat 10,000 penyokong bagi satu perlawanan divisyen ketiga. Di Perancis, atau di wilayah Paris, orang tidak begitu kisah sangat.

"Jonathan masuk menentang Arsenal dan menggelecek melepasi dua pemain pertahanan sebelum menjaringkan gol jadi ia mengangkat namanya. Maksud saya, mereka (Arsenal) baru saja mengalahkan Barcelona jadi ia sesuatu yang menakjubkan! "Saat-saat seperti itu boleh mengubah karier seseorang pemain.

"Saya memiliki memori indah buatnya. Dia benar-benar seorang lelaki yang baik.

"Apabila saya menyaksikannya, saya lantas terfikir dia mempunyai kualiti yang tepat untuk bermain di England." Baudu segera menghantar mesej kepada Tehoue - untuk membelikannya sekeping tiket bagi perlawanan ulangan di Stadium Emirates.

Beliau berkata: "Saya tidak pernah menaiki kapal terbang mahupun kapal laut tapi adalah menarik untuk menyaksikannya. Satu jemputan pastinya hebat, malah satu panggilan telefon untuk berkata 'Hello'.

"Kami pernah melahirkan beberapa pemain muda berbakat, seperti Michael Pereira yang kini bermain buat Real Mallorca. Begitu juga Jimmy Kebe yang bertindak baik di Reading.

"Kami ada seorang pemain remaja, pemain berusia 19 tahun yang amat bagus, dan kini berada di Toulouse.

"Anda patut memberitahu beberapa kelab Inggeris mengenainya! "Jika kami boleh membawa mereka ke Manchester United atau Arsenal, maka ia pastinya hebat!" - Metro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...