Pages

Monday, November 21, 2011

Wilshere dalam 'radar' Real sebagai prospek buruan paling utama

Kelab gergasi Sepanyol buru lima pemain prospek utama Eropah

MADRID: Tonggak muda Arsenal, Jack Wilshere disebut-sebut sebagai pemain buruan utama kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid. Pemain kebangsaan England itu adalah antara seorang daripada lima pemain dinamakan Real yang kini mula mengintai pemain berstatus prospek utama di Eropah.

Berita itu pastinya tidak diingini pengurusan Arsenal yang enggan melihat mereka hilang lagi pemain ke kelab Sepanyol selepas apa yang berlaku kepada Thierry Henry dan Cesc Fabregas yang berhijrah ke Barcelona.

Wilshere, 19, yang ketika ini sedang berehat kerana mengalami kecederaan kaki sudah menandatangani kontrak baru selama lima tahun dengan Arsenal tahun lalu, dan berikrar untuk terus setia bersama kelab London itu.

Namun Real tampak tidak mahu lagi mengeluarkan belanja besar untuk mendapatkan pemain bintang yang sedang berada di kemuncak dengan mengambil contoh mereka terpaksa membeli Cristiano Ronaldo daripada Manchester United dengan harga 80 juta pound (RM400 juta).

Sebaliknya mereka kini tampil dengan strategi untuk menandatangani sekumpulan bintang muda dengan anggaran nilai sekitar 20 juta pound (RM100 juta) hingga 30 juta pound (RM150 juta).

Lima pemain yang cuba dilengkapkan perpindahan ke Real dalam tempoh sehingga 2014 ialah Wilshere, pemain tengah Barcelona B, Rafinha, pemain sayap Athletic Bilbao, Iker Muniain, perancang tengah Lille, Eden Hazard dan pemain tengah Dortmund, Mario Gotze. – Agensi

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...