Pages

Tuesday, November 22, 2011

Wenger cabar Arsenal jika mahu dilabelkan pasukan gergasi England yang digeruni Eropah

LONDON: Arsene Wenger mencabar Arsenal menunjukkan kesungguhan mereka untuk melakar kejayaan apabila Gunners bakal mengharungi perlawanan terakhir pusingan kelayakan Liga Juara-Juara bertemu Borrussia Dortmund awal pagi esok.


Nasib Arsenal tiba-tiba berubah selepas mempamerkan aksi longlai awal musim ini, termasuklah kekalahan memalukan 8-2 kepada Manchester United berikutan perpindahan Cesc Fabregas dan Samir Nasri ke kelab lain.

Kemenangan ke atas Norwich minggu lalu adalah yang kelima berturut-turut untuk mereka pada saingan liga iaitu sebahagian daripada lapan perlawanan yang dilalui anak buah Wenger dalam semua saingan tanpa tewas.

Arsenal akan layak ke pusingan kedua Liga Juara-Juara awal pagi esok jika dapat menewaskan Dortmund dan Wenger percaya, ia adalah ujian yang mesti dilepasi oleh mereka jika mahu kekal dilabel sebagai antara pasukan gergasi England dan Eropah.

“Semangat melawan pasukan ini sangat tinggi, malah saya sendiri amat berbangga dapat bekerja bersama mereka. Kami perlu menunjukkan bahawa kami boleh melangkah jauh.

“Dan kami membuktikan sudah kembali ke landasan tepat. Sama-sama kita saksikan kesudahan penghujung musim ini. “Saya sangat positif. Dalam tempoh beberapa bulan lagi kami perlu membuktikan sejauh mana kemampuan kami. Saya rasa setiap pemain mahu menjulang kejuaraan dan inilah yang perlu kami kejar selepas ini,” kata Wenger.

Masa depan Wenger di Arsenal menjadi topik hangat di akhbar-akhbar utama England pada hujung minggu lalu selepas pengendali berbangsa Perancis itu membayangkan dia mungkin akan memikirkan semula kedudukannya ketika ini selepas tamat musim ini. Bagaimanapun, Wenger yang masih mempunyai tempoh baki kontrak dua tahun lagi, menegaskan beliau tidak akan berhijrah ke mana-mana.

“Bagi saya isu ini tidak penting. Biarlah kelab memutuskan sama ada mahu mengetepikan saya atau tidak. Saya tidak mahu mencampuri keputusan mereka itu,” katanya. - AFP

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...