Pages

Wednesday, December 28, 2011

Wolves hampakan The Gunners..

HENNESSEY (kanan) beraksi cemerlang bagi menghalang percubaan barisan penyerang Arsenal pada pertemuan Liga Perdana England awal pagi semalam.
LONDON - Arsenal mempersia-siakan peluang untuk memintas kedudukan Chelsea di tangga keempat Liga Perdana England selepas terikat 1-1 dengan Wolverhampton Wanderers awal pagi semalam.

Keputusan seri di Stadium Emirates itu menyaksikan skuad The Gunners kini sekadar mengutip 33 mata, 12 mata di belakang pendahulu liga, Manchester City dan Manchester United.


"Ia sangat mengecewakan," kata pengurus Arsenal, Arsene Wenger.

"Keputusan seri itu sungguh mengejutkan tetapi kami tidak boleh berbuat apa-apa kerana ia sudah berlaku.

"Pasukan saya dilihat kurang matang dalam perlawanan itu. Ia sukar untuk diterima."

Pada perlawanan tersebut, Arsenal terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Gervinho yang bijak menyambar hantaran Yossi Benayoun pada minit kelapan.

Bagaimanapun, Wolves berjaya menyamakan kedudukan apabila Steven Fletcher menanduk masuk bola kira-kira tujuh minit sebelum babak pertama berakhir.

Pada babak kedua, Arsenal menggandakan asakan dalam misi memburu tiga mata penuh tetapi tidak berhasil berikutan kecemerlangan penjaga gol Wolves, Wayne Hennessey.

Hennessey beraksi cemerlang apabila beberapa kali menepis keluar percubaan menarik jentera serangan Arsenal yang diketuai Robin van Persie dan Gervinho.

Skuad The Gunners turut gagal memanfaatkan peluang apabila Wolves terpaksa bermain dengan 10 pemain kira-kira 15 minit sebelum permainan tamat.

Nenad Milijas terpaksa meninggalkan padang selepas dilayangkan kad merah kerana mengasari Mikel Arteta.

"Aksi Hennessey wajar dipuji. Dia merupakan seorang penjaga gol terbaik dalam liga dan dia telah membuktikannya," kata pengurus Wolves, Mick McCarthy. - (Berita Kosmo!)

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...