Pages

Wednesday, February 29, 2012

Saya masih sayangkan Arsenal - RVP

KECEMERLANGAN yang dipamerkan van Persie sejak kebelakangan ini membolehkan dia kini muncul penjaring terbanyak liga
LONDON - Kapten Arsenal, Robin van Persie menyatakan hasrat untuk mengadakan rundingan berhubung lanjutan kontrak bersama The Gunners pada akhir musim ini.

Sebelum ini, van Persie mengakui dia enggan terburu-buru untuk menentukan masa depannya bersama Arsenal dan bercadang bertemu pengurus dan pengerusi kelab bagi membincangkan lanjutan kontrak.

Pemain yang berusia 28 tahun itu kembali menyerlah pada musim ini namun kontraknya dijadual berakhir musim panas tahun depan yang mana penyerang Belanda itu mahu mengemukakan syarat-syarat peribadi.


van Persie turut mengakui dia masih menyayangi Arsenal selepas berkhidmat selama lapan tahun di London.

"Saya berbangga dengan segala pencapaian saya di sini," ujar van Persie.

"Saya bagaikan pemain Arsenal yang sejati. Saya cintakan kelab ini dan tiada rahsia lain lagi.

"Pada akhir musim ini, saya akan berbincang dengan pengurus (Arsene Wenger) dan pengerusi Arsenal.

"Tidak perlu terburu-buru. Kebiasaannya saya hanya bercakap dengan pengurus sahaja tetapi kali ini, pengerusi akan hadir sama dalam perbincangan tersebut."

Sebelum ini, van Persie turut dikaitkan bakal meninggalkan bumi England selepas dua kelab gergasi Eropah, Real Madrid dan Barcelona dikatakan berminat untuk mendapat penyerang sensasi Arsenal tersebut. - Agensi

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...