Pages

Sunday, March 4, 2012

Wenger - Kita tidak boleh kehilangan RVP

VAN PERSIE (tengah) meledakkan kedua-dua gol Arsenal ketika menewaskan Liverpool 2-1 di Anfield kelmarin
 
LIVERPOOL - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger berjanji akan berusaha sedaya upaya bagi memastikan penyerang, Robin van Persie terus kekal di Emirates musim depan.

Wenger menyuarakan keazaman itu selepas van Persie meledakkan kedua-dua gol Arsenal ketika menewaskan Liverpool 2-1 di Anfield pada aksi Liga Perdana England kelmarin.

"Kami akan melakukan segala-galanya bagi memastikan van Persie kekal bersama kami. Ketika ini, itu sahaja yang mampu saya katakan.

"Van Persie adalah seorang pemain bertaraf dunia dan saya cukup berbangga dengannya. Ketika mula menyarung jersi Arsenal, tidak ada sesiapa pun yang mengenali van Persie dan kita sendiri dapat lihat di mana kedudukannya sekarang," kata Wenger.


Dalam perlawanan itu, van Persie membantu skuad The Gunners bangkit daripada ketinggalan dan meledakkan gol kemenangan pada masa kecederaan, sekali gus menyukarkan impian The Reds untuk beraksi ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Liverpool membuka jaringan pada minit ke-23 selepas pemain pertahanan Arsenal, Laurent Koscielny tertampan gol ke gawang sendiri sebelum The Gunners bangkit menyamakan kedudukan menerusi tandukan van Persie.

Sebelum itu, Liverpool mempersia-siakan peluang terbaik apabila Dirk Kuyt gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-19.

Kekalahan itu menyebabkan Liverpool ketinggalan 10 mata di belakang Arsenal yang kini selesa dengan mengutip 49 mata di tangga keempat liga.

Setakat ini, van Persie masih belum membuat sebarang keputusan mengenai lanjutan kontraknya bersama The Gunners yang akan tamat musim depan.

Dalam pada itu, Arsenal masih berdepan cabaran yang cukup besar untuk pergi lebih jauh dalam aksi Liga Juara-Juara ketika berdepan AC Milan awal pagi Rabu ini selepas ketinggalan 0-4 pada pertemuan pertama bulan lalu.

Namun Wenger percaya, segala-galanya tidak mustahil dengan adanya van Persie.

"Kami kehilangan Mikel Arteta, Abou Diaby dan Yossi Benayoun yang masih belum cergas untuk diturunkan ketika menentang Milan.

"Begitupun, ia bukannya satu masalah selagi kami mempunyai van Persie, selain saya juga mungkin menurunkan enam penyerang dalam perlawanan itu," katanya.

Sementara itu, van Persie enggan mendabik dada selepas membantu pasukan itu menewaskan Liverpool. - Agensi

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...